Tuesday, December 1, 2009

KHIDMAT


  • Bantuan Kebudayaan

* OBJEKTIF
- Menyemarakkan aktiviti seni dan budaya di seluruh negara.
- Menggalakkan perlaksanaan aktiviti di kalangan masyarakat setempat.
- Meningkatkan jumlah dan taburan aktiviti berdasarkan matlamat untuk menyemarakkan
aktiviti seni dan budaya.
- Menarik minat masyarakat untuk menghargai dan terlibat di dalam aktiviti seni dan budaya.
- Menyediakan asas untuk pemupukan kecemerlangan seni di kalangan ahli-ahli persatuan.
- Menyediakan kegiatan sihat kepada generasi muda sebagai alternatif kepada kegiatan-
kegiatan yang mungkin menimbulkan gejala sosial.


*Jenis aktiviti yang boleh dipertimbangkan:

- Pementasan

- Latihan (Seminar, Kursus, Khemah, Bengkel dan lain-lain)

- Pertandingan

- Pameran

-Pembelian peralatan (seperti alat muzik dan kostum)

- Aktiviti-aktiviti seumpamanya yang difikirkan wajar oleh kementerian.


  • Bantuan NGO

* Badan Bukan Kerajaan Seni dan Budaya yang layak memohon dan diberi pertimbangan adalah
seperti berikut:
-Berdaftar dengan Pendaftar Malaysia mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966 atau
berdaftar dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974.
-Pendaftaran yang masih sah.

  • Nasihat Kebudayaan
*Memberi nasihat kebudayaan kepada badan-badan yang memerlukan khidmat nasihat yang
berkenaaan.

Tuesday, November 10, 2009

LATAR BELAKANG

LATAR BELAKANG: Bermula Daripada Sebuah Sekolah

Bermula daripada sebuah sekolah lelaki aliran Inggeris yang dikenali sebagai Victoria Institution sempena dengan nama Queen Victoria, Kerabat diRaja British ketika itu, bangunan yang berseni bina gaya Victorian English Cottage adalah ilham seorang arkitek kanan Inggeris, A.C Norman yang bertugas di Jabatan Kerja Raya pada tahun 1893.

Perletakan batu asas pembinaannya pada 14 Ogos 1893 disempurnakan oleh Lady William Hood Treacher, isteri kepada Sir William Hood Treacher, Residen British di Selangor ketika itu. Penubuhan sekolah ini tercetus atas kesedaran perlunya sekolah aliran Inggeris di Kuala Lumpur yang standing dengan Raffles Institution di Singapura. Sekolah ini dibuka secara rasmi pada 3 Julai 1894 dan Mr. Bennett Eyre Shaw telah memikul tanggungjawab sebagai pengetua pertama di sekolah ini.

PERUNTUKAN KEWANGAN

Peruntukan kewangan pembinaan sekolah ini diperolehi daripada lebihan sumbangan masyarakat sempena perayaaan Jubli Emas Queen Victoria pada tahun 1887 sebanyak $3,188 serta $5000 diperolehi daripada sumbangan kerajaan.

Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Shah Ibni Al-Marhum Tengku Abdullah, Sultan Selangor yang bertakhta ketika itu turut menyumbang $1,100 disertai 3 orang ketua masyarakat berbilang kaum di Kuala Lumpur iaitu Yap Kwan Seng, Towkey Loke Yew dan Tamboosamy Pillay yang menyumbangkan $1,100 setiap seorang. Ini menjadikan jumlah peruntukan kesemuanya mencecah $21,000.

DI AWAL PENUBUHAN

Victoria Institution berdiri teguh sebagai sebuah institusi pendidikan dengan pelbagai perkembangan yang memberansangkan. Pada 28 Mac 1929, kurikulum pembelajaran baru telah diperkenalkan di mana aktiviti drama dan debat merupakan kurikulum tambahan yang amat penting. Namun, pada tahun yang sama Victoria Institution telah dipindahkan ke Petaling Hill disebabkan keperluan kawasan yang lebih luas untuk menampung pertambahan pelajar serta mengelakkan masalah banjir teruk yang mula melanda sekitar tahun 1926.

Bangunan Victoria Institution kemudiannya dihuni oleh pelajar Maktab Teknik Kuala Lumpur untuk meneruskan pengajian mereka sehingga dipindahkan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Gurney atau lebih dikenali sebagai Jalan Semarak pada sekitar 1950-an. Bangunan tersebut seterusnya diambil alih oleh High Street School sebelum ia juga dipindahkan ke Setapak yang kemudiannya dikenali sebagai Setapak High School.

KEBANGKITAN SENI BUDAYA

Kebangkitan era seni budaya terutamanya dalam bidang teater dan tarian begitu ketara disekitar tahun 1970-an dan 80-an apabila para pencinta dan pejuang seni budaya di sekitar Kuala Lumpur menjadi bangunan Victoria Institution ini sebagai pusat latihan, perhimpunan serta pementasan, aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Pada sekitar tahun 1980-an, Taman Budaya yang lebih dikenali sebagai Panggung Drama atau Pusat Seni ketika itu dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan telah dijalankan malah secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi aktiviti kebudayaan di sekitar Kuala Lumpur.

DI SINI BERMULANYA PERJUANGAN SENI

Nama-nama seperti Mustapha Noor, Fauziah Nawi, Normah Nordin, Khalid Salleh, Fatimah Abu Bakar, Rahman B, Rohani B, Ahmad B, Jalaluddin Hassan dan Dinsman merupakan sebahagian daripada penggiat seni yang lahir daripada aktiviti kesenian yang wujud di Taman Budaya ini. Masalah kekurangan tempat latihan dan pementasan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1970-an dan 80-an telah menarik perhatian lebih ramai pencinta serta penggiat seni untuk menjadikan Taman Budaya Kuala Lumpur sebagai pusat latihan dan pementasan aktiviti kesenian.

Khalid Salleh

Fatimah Abu Bakar

Fauziah Nawi

Jalaluddin Hassan

Dinsman


TRAGEDI KEBAKARAN

Bangunan bersejarah berusia 106 tahun yang telah banyak berjasa pada penggerak seni ini dikejutkan dengan tragedi kebakaran pada 26 Julai 1999 yang telah memusnahkan hampir keseluruhan struktur asalnya. Tragedi ini dipercayai berpunca daripada penagih jalanan yang sering menyelinap masuk ke kawasan ini dengan tujuan yang tidak sihat pada waktu malam. Menyedari akan kepentingan pengekalan warisan seni budaya, bangunan asal Blok 1 Victoria Institution yang terbakar dipulihara dan dibina semula di tapak asalnya.

Proses pembinaan semula pada 28 Oktober 2002 dan telah siap pada tahun 2005 dengan kos pembinaan yang menelan belanja RM7 juta, bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan asas yang sesuai dengan kepentingannya dalam mengembangkan warisan seni dan budaya.

Pembangunan semula tapak pusat seni ini telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan kini ia lengkap dengan kemudahan teknologi dan peralatan canggih yang sesuai dengan kehendak dan perkembangan kebudayaan dan kesenian di bawah pantadbiran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Monday, November 2, 2009

MISI, VISI & OBJEKTIF



VISI
Melahirkan bangsa Malaysia yang berbudaya luhur berasaskan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan serta dasar-dasar dan arahan kerajaan Mlaysia dari masa ke masa dalam pembentukan masyarakat yang bersopan-santun, berbudi bahasa, bersedia dan bersatu dengan gigih untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


MISI
Menyemarakkan dan merakyati seni dan budaya "Mengekalkan warisan negara samada yang bersifat ketara dan tidak ketara".


OBJEKTIF
Melaksanakan dengan cekap dan berkesan segala dasar undang-undang dan peraturan berhubung dengan kebudayaan, kesenian dan warisan negara serta memastikan hala tuju dan perlaksanaan dasar-dasar selaras dengan objektif dan wawasan negara.